Monday, December 30, 2013

Produk Kosmetik Yang Memberi Kesan Buruk

KEGHAIRAHAN sesetengah wanita untuk memiliki kulit cerah dengan cara cepat menggunakan ‘kosmetik murahan’ menenggelamkan nasihat pakar kecantikan dan kesihatan, walaupun bahaya mengenai bahan terlarang sudah acap kali dibincangkan. Keinginan menukar kulit wajah sebenarnya menunjukkan seseorang individu itu tidak yakin dengan diri sendiri. Jika anda menganggap kecantikan diukur pada warna kulit, bermakna tafsiran anda sangat sempit.

Kecantikan seseorang wanita tidak hanya terletak pada warna kulit atau tebalnya solekan di muka. Ukuran kecantikan sejagat membabitkan jati diri dan keperibadian mulia.
Bagaimanapun, bukan semua orang boleh menerima pendapat begini. Dalam satu kaji selidik oleh Synovate pada 2004, 61 peratus wanita dari lima negara iaitu Hong Kong, Malaysia, Filipina, Korea Selatan dan Taiwan berkata, mereka tampak lebih muda jika memiliki kulit cerah.
Kaji selidik berkenaan juga mendapati, 50 peratus wanita Filipina, 45 peratus wanita Hong Kong dan 41 peratus wanita Malaysia menggunakan produk pencerah wajah.

Kenapa warna kulit kita berbeza-beza? Warna kulit ditentukan oleh penghasilan melanin pada lapisan sel bawah kulit. Lebih banyak melanin dihasilkan, kulit akan menjadi lebih gelap.
Tuhan tidak akan mencipta sesuatu tanpa fungsi tertentu dan melanin adalah daya pertahanan semula jadi untuk kulit terhadap sinar ultra lembayung dalam cahaya matahari.
Tanpa melanin, kulit kita sebenarnya lemah dan perlu dilindungi daripada cahaya matahari bagi mengelak kemungkinan mendapat kanser kulit.
Malangnya, ramai tidak sedar hakikat ini dan ingin membuang bahan berkenaan supaya tampak lebih cantik.

Jadi sebelum melumurkan sebarang krim, tanya pada diri, sanggupkah anda menjadikan muka sebagai tempat ujian yang tidak pasti lagi kesannya?

Semua ini memang berlaku setiap hari kerana ketidakprihatinan pengguna lalu memakai produk kecantikan yang tidak mendapat KELULUSAN dari KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM).

KENAPAKAH KKM TIDAK MELULUSKAN SEMUA PRODUK YANG TERDAPAT DI PASARAN?

>> Kerana terdapat pengeluar yang memasarkan produk yang mengandungi racun yang sangat bahaya kepada pengguna seperti merkuri, hidrokuinon, tretinoin, raksa, plumblum dan sebagainya.

WALAUPUN DIHARAMKAN OLEH PIHAK KKM, KENAPAKAH PRODUK YANG MENGANDUNGI RACUN MASIH MENJADI PILIHAN RAMAI?

>> Sebab2 utama produk beracun digemari adalah kerana:-
  • Produk yang mengandungi racun memberi kesan yang lebih cepat putih, menghilangkan jerawat dan jeragat dengan cepat dan sebagainya. Pengguna yang tidak sabar pasti menyukai kesan yang cepat begini. Tetapi mereka tidak tahu risiko kerosakan pada wajah dan kesihatan adalah sangat merbahaya.
  • Harganya lebih rendah kerana bahan yang tidak berkualiti.
  • Terpengaruh oleh iklan palsu yang hebat.
  • Pengguna tidak tahu (naif) mengenai bahayanya racun dalam kosmetik.
  • Sikap mengambil mudah untuk menjadi cantik di dalam jangkamasa yang pendek.
KENAPAKAH PRODUK BERACUN MEMBERI KESAN YANG LEBIH CEPAT DARI PRODUK YANG DILULUSKAN OLEH KKM?

>> Kerana produk beracun menggunakan bahan aktif peluntur yang kuat seperti hidrokuinon dan raksa yang bersifat menghakis/menipis.

APAKAH KESAN-KESAN YANG BERBAHAYA TERHADAP PENGGUNA APABILA MEMAKAI PRODUK KECANTIKAN YANG MENGANDUNGI RACUN-RACUN TERSEBUT?

>> Kesan-kesannya amat menakutkan sekiranya kita semua sedar dan prihatin terhadap kesihatan kita. Secara amnya, bahaya racun2 tersebut boleh diringkaskan seperti berikut:

1.  HIDROKUINON. Iaitu racun yang selalu digunakan pada krim malam dan krim pemutih. Racun ini telah diharamkan di bawah Akta Racun 1952 kecuali di bawah kawalan doktor/farmasi. Ia sebenarnya bahan peluntur filem, getah, rambut dan sebagainya. Sifat pelunturnya boleh menghakis lapisan luar kulit (epidermis) dan menghalang pembentukan melanin. (Melanin adalah pigmen pada kulit sebagai pelindung yang berwarna gelap/coklat). Penghakisan melanin dengan cepat menyebabkan muka menjadi putih manakala parut dan jeragat boleh hilang. Ini menyebabkan ramai pengguna tertarik dengan keberkesannnya. Pada peringkat awal penggunaanya ramai pengguna terpedaya kerana kulit menjadi putih dan masalah jeragat/jerawat boleh hilang. Sebenarnya kulit yang putih oleh hakisan hidrokuinon tidak akan kekal lama kerana kulit muka akan kembali kepada warna asal oleh proses melanin tadi. Untuk terus kekal kelihatan putih, pengguna terpaksa menggunakan produk berhidrokuinon dengan lebih banyak lagi.


2. Penggunaanya yang berterusan mengakibatkan muka menjadi semakin nipis dan sangat sensitif, kemerahan rasa pedih dan kesan seperti terbakar. Kulit akan menggelupas dan lapisan melanin sebagai pelindung kulit akan terus terhakis. Ini menyebabkan kulit tidak ada lagi daya pelindung mengakibatkan ia menjadi terlalu sensitif pada cahaya matahari, debu, asap, kekotoran udara dan sebagainya. Pengguna pula terus terperangkap dan terpaksa menggunakan produk yang beracun kerana jika penggunaanya dihentikan, kulit akan menjadi lebih gelap/hangus. Akibatnya penipisan kulit terus berlaku sehingga merebak pada lapisan kedua (dermis) yang mengandungi saluran darah. Pada tahap ini, sama ada hidrokuinon terperangkap di bawah kulit yang mengakibatkan kulit berbintil hodoh atau lebih malang lagi jika ia dipam oleh jantung ke seluruh tubuh yang akan merosakkan ginjal. Secara ringkasnya kesan buruk sekiranya anda memakai produk yang mempunyai hidrokuinon adalah:
  • Kulit menggelupas, nipis, pedih, gatal, kemerahan dan sensitif. Jika tidak dirawat ia akan kekal menjadi hitam/gelap, bertompok dan kelihatan hodoh dan mudah terkena kanser kulit. 


  • Kulit yang nipis tidak mempunyai daya penahan, mengakibatkan wajah pengguna akan menjadi cepat tua. 

  • Hidrokuinon yang menyerap ke dalam saluran darah memberi kesan pada pertuturan, pendengaran, muntah, renjatan otot, sakit kepala, sawan dan koma.
3.  RAKSA/MERKURI. Iaitu logam berat yang sangat beracun. Seperti hidrokuinon, ia juga sebagai agen pemutih, memutihkan kulit wajah anda sehingga hilang warna asal kulit anda. Ia sangat bahaya walaupun digunakan sedikit kerana ia mudah terserap ke dalam saluran darah. Raksa/Merkuri boleh mengakibatkan gangguan saraf, kerosakan ginjal, gangguan otak, memati sel darah dan mencacat janin.


4.  TRETINOIN/RATIN-A. Ia digunakan untuk menghalang atau merawat jerawat. Ia juga sangat bahaya kerana mengakibatkan kulit kering, rasa seperti terbakar, kulit menggelupas, kemerahan, sensitif dan juga mencacat janin. 

BAGAIMANAKAH UNTUK MENGENALPASTI PRODUK YANG DILULUSKAN OELH KKM?

>> Di bawah PERATURAN-PERATURAN KAWALAN DADAH DAN KOSMETIK 1984, semua produk kosmetik hendaklah didaftarkan dengan BIRO PENGAWALAN FARMSEUTIKAL KEBANGSAAN (BPFK), KKM untuk diuji dan disahkan selamat, berkesan dan berkualiti sebelum ianya dipasarakan kepada pengguna. Produk yang diluluskan akan diberi NOTIFICATION NOTE pada setiap item sebagai contoh NOT12345678K. Nombor-nombor ini kebiasaanya tercatat pada setiap botol atau kotak pembungkus setiap produk. Jadi anda boleh memeriksa sendiri kesahihan produk dengan melayari www.bpgk.com. Anda adalah dinasihatkan supaya tidak mengguna sama sekali produk kosmetik yang tidak ada NOT...........K supaya tidak menanggung risiko kerosakan wajah. Produk yang beracun juga boleh dikenalpasti apabila sabun atau toner atau krim pemutih atau krim malam berubah warna menjadi hitam/coklat tua. (AMARAN : Produk skincare perlu melalui LAB TEST untuk kesahihan produk bebas dari bahan kimia beracun). 

APAKAH BUKTI YANG BOLEH DILIHAT KESAN BURUK OLEH PRODUK BERACUN?

>> Anda sudah pasti biasa melihat wajah pengguna yang kelihatan lebih putih dari badannya. Ini adalah peringkat awal pada kerosakan wajah. Anda juga pernah biasa melihat wajah pengguna yang kelihatan gelap, bertompok dan kotor. Ini adalah peringkat kerosakan semakin serius yang agak sukar dirawat. Kerosakkan pada wajah amat mudah dilihat oleh semua orang tetapi kesan buruk pada kesihatan dan kecacatan janin/keguguran janin walaupun ianya terbukti berlaku, hanya doktor yang dapat mengesahkannya.

APAKAH NASIHAT KEPADA PENGGUNA?

>> Adakah anda sanggup menerima risiko kerosakan wajah? Atau lebih teruk lagi sudah menjejaskan kesihatan dalaman anda. Semestinya TIDAK kerana wajah adalah aset yang penting pada semua orang. Oleh itu kita semua perlu lebih peka dan prihatin dengan info yang terbaru mengenai produk kosmetik yang terdapat di pasaran hari ini. Perlu pengetahuan lebih meluas mengenai rampasan-rampasan produk kosmetik yang dibuat oleh BPFK dari masa kesemasa. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih sahih dan tepat, anda sendiri boleh menghubungi BPFK, KKM untuk anda check sendiri produk yang anda ingin cuba dan beli untuk langkah berhati-hati. HATI-HATI, nombor NOT.............K itu mana-mana penjual produk kosmetik boleh daftarkan secara ONLINE sahaja tanpa melalui prosedur mereka. JANGAN TERUS TERTIPU jika ada NOT................K sekali pun. Sila pastikan dengan pihak KKM dan BPFK dulu.


Jadilah pelabur bijak kerana pelaburan dalam penjagaan kecantikan bukan hanya membabitkan wang, tetapi
masa dan paling penting, kulit muka anda.


Jangan jadikan muka sebagai medan melakukan ujian keberkesanan bahan terlarang kerana dikhuatiri kesan
sampingannya kekal sehingga tua.

No comments:

Post a Comment